Saturday, August 8, 2009

Apakah Sebenarnya ESQ 165???

KEPUTUSAN PANEL KAJIAN AQIDAH JAKIM

83. Kertas kajian dan isu berkenaan ESQ telah dibentang dan dibincangkan sebanyak empat kali iaitu pada Mesyuarat Panel Kajian Aqidah (PKA) kali ke-38 pada 28 Ogos 2008, Mesyuarat Khas PKA berkenaan ESQ pada 14 Oktober 2008, Mesyuarat PKA kali ke-39 pada 27-28 November 2008 dan Mesyuarat Khas PKA berkenaan ESQ pada 10 Februari 2009.





84. Kesimpulan dan keputusan mesyuarat-mesyuarat tersebut ialah seperti berikut:


i) Mesyuarat PKA kali ke-38 pada 28 Ogos 2008


Kesimpulan:


a) Perkara-perkara aqidah yang eksklusif di dalam Islam cuba difahami secara inklusif melangkaui agama-agama lain memandangkan para perserta kursus terdiri daripada pelbagai latar belakang agama.

b) Salahtafsiran terhadap kisah Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS dan Nabi Musa AS yang dikatakan mencapai kesedaran rohani melalui pencarian dan pengalaman.

c) Membimbing supaya para peserta menuruti suara hati kerana ia adalah punca kebenaran dan Ihsan memandangkan nama-nama dan sifat-sifat Tuhan terletak di dalam God Spot.

d) Mentafsirkan al-Asma al-Husna tanpa berteraskan disiplin ilmu aqidah sebaliknya cuba memaksa terjemahan nama-nama Allah bersesuaian dengan matlamat kursus iaitu untuk motivasi kepimpinan.

e) Mengemukakan tafsiran baru terhadap Iman, Islam dan Ihsan.

f) Mengadakan rumus ZMP yang didakwa punca manusia mendapat kekuatan atau perkara luar biasa.

g) Menganjurkan perbuatan-perbuatan ibadah mahdhah dengan disertai bersama oleh peserta bukan Islam.


Keputusan:


a) Terdapat keraguan-keraguan yang dikhuatiri boleh menyelewengkan aqidah di dalam kursus tersebut.

b) Doktrin bahawa kebenaran boleh diperolehi melalui pengalaman/pencarian (termasuk oleh para nabi) perlu dijadikan asas kepada penyelewengan ESQ.


ii) Mesyuarat Khas PKA berkenaan ESQ pada 14 Oktober 2008


a) Bersetuju dengan pembentangan oleh ahli PKA, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat bahawa; keraguan-keraguan yang dikhuatiri boleh menyelewengkan aqidah di dalam kursus ESQ adalah wujud sebagaimana yang telah dibentangkan oleh urusetia JAKIM pada mesyuarat PKA kali ke-38.


iii) Mesyuarat PKA kali ke-39 pada 27-28 November 2008 dan pertemuan ahli PKA dengan penganjur/moderator ESQ


Kesimpulan:


a) Berlaku campuraduk antara kebenaran dan kebatilan dalam metodologi kursus yang disampaikan oleh ESQ.

b) Penggunaan istilah-istilah agama sebagai saduran untuk membenarkan teori-teori yang dikemukakan.

c) Tidak mempunyai asas yang kukuh dalam menafsirkan semula makna Iman, Islam dan Ihsan.

d) Terdapat unsur-unsur mengeksploitasi agama Islam untuk tujuan keuntungan korporat.

e) Mengeksploitasi elemen-elemen ritual dalam Islam yang eksklusif seperti solat, zakat dan haji bagi tujuan yang inklusif dan boleh digunapakai oleh semua agama.

f) Dikhuatiri akan wujud di kalangan golongan bukan Islam yang memeluk Islam atas dasar memeluk ESQ bukan memeluk dan memahami Islam sebagaimana tradisi keilmuan Islam.
Keputusan:

a) Mesyuarat mengesyorkan supaya satu mesyuarat khas PKA diadakan sekali lagi, bagi meneliti sedalam-dalamnya pemikiran dan falsafah yang terdapat di sebalik pengajaran kursus ESQ.


iv) Mesyuarat khas PKA berkenaan ESQ pada 10 Februari 2009


Kesimpulan:

Terdapat penyelewengan dalam ESQ pada aspek-aspek berikut:-


Aspek aqidah

a) Mendakwa para Nabi mencapai kebenaran (kesedaran rohani) menerusi pengalaman dan pencarian (tanpa menyatakan peranan wahyu). Pengasasnya mengiaskan dirinya dengan para Nabi dalam pencarian mencari kebenaran sedangkan para Nabi dikurniakan wahyu oleh Allah SWT.

b) Menafikan eksklusivisme aqidah Islam dengan mengatakan bahawa rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan bukan hanya eksklusif untuk umat Islam.

c) Mendakwa suara hati ialah punca kesedaran rohani (spiritual quotient/martabat ihsan) termasuk mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin yang paling kuat berpegang kepada logika dan suara hati.

d) Tafsiran salah terhadap al-Asma’ al-Husna iaitu dengan mengatakan bahawa manusia dan seluruh alam adalah wakil 99 nama/sifat Allah SWT. ESQ mendakwa ‘fitrah’ bermaksud Allah SWT meniupkan 99 sifat-Nya ke dalam diri manusia. Di samping itu ESQ cuba menafsirkan semua nama-nama Allah SWT bersesuaian dengan matlamat kursus.

e) Mendakwa kekuatan luar biasa seperti mukjizat dan karamah boleh berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP). Dengan rumus ZMP ini, ESQ mengiaskan bahawa mukjizat Nabi Musa a.s. diselamatkan oleh Allah SWT daripada tentera Fir’aun boleh jua berlaku kepada orang lain iaitu seperti yang berlaku kepada juru terbang Kapten Abdul Razak.


Aspek syariah


a) Mengadakan tafsiran baru terhadap Islam, Iman dan Ihsan dalam penjelasan berkenaan The ESQ Way 165 dengan diakhiri ayat al-Qur’an “Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu...”.

b) Sujud dengan tidak menurut hukum syara’ serta diikuti bersama peserta bukan Islam.

c) Simulasi dengan melakukan perbuatan-perbuatan haji dengan disertai bersama peserta bukan Islam.

d) Mengambil pedoman daripada golongan yang tertolak seperti menerima teori Kod 19 yang dibawa oleh Rashad Khalifah dan pandangan-pandangan ahli falsafah Barat tentang makna kebenaran.

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum...

    Buat julung kalinya dibawakan ke Malaysia !

    ESQ Parenting Seminar
    "Better Parenting for a Better World"

    Pada 10/10/10 (Ahad)
    di SACC, Shah Alam
    akan dibawakan khas oleh Pengasas Model ESQ, Dr.(H.C.) Ary Ginanjar Agustian..
    (Penerima pelbagai anugerah dalam bidang pembangunan dan pembentukan karakter)

    Harga : RM740
    Promosi : RM1180 utk suami&isteri (2 org) - terhad hanya untuk pasangan sahaja
    Untuk : Ibu, bapa, bakal ibu, bakal bapa, pendidik dan mereka yang berumur 18 tahun keatas dan yang ingin mengenali dan mengeluarkan potensi fitrah manusia yang luar biasa.

    Apa yang akan anda dapati dari seminar ini ialah :

    (i.) Fahami peranan & tanggungjawab sebenar sebagai ibubapa yang menjadi faktor utama pembentukan dan perkembangan personaliti anak.
    (ii.) Ketahui bagaimana cara untuk mendorong kecemerlangan karakter & potensi diri anak yang mungkin selama ini tanpa disedari kita telah menghalang anugerah Yang Maha Esa ini pada mereka.
    (iii.) Pendidikan anak tidak cukup hanya sekadar intelektual, maka singkaplah bagaimana cara untuk mencemerlangkan sumber emosi dan spiritual anak
    (iv.) Penyatuan perbezaan pasangan dalam mendidik anak.

    ''Berikan yang terbaik buat permata hati.. Ibubapa cemerlang dambaan setiap insan''

    Untuk pendaftaran dan informasi lebih lanjut tentang training ESQ, sila hubungi ESQ di talian: (03) 7728 1650 / 7725 1651,

    Terima kasih.

    Wassalam..

    ReplyDelete